Monday 14 January 2013


Bismillahirrahmanirrahim,

Suara mahasiswa, suara perubahan.

Andai seorang individu yang baru kita kenali, dijemput masuk ke dalam rumah kita, makan dan minum disediakan. Kemudian, berbual penuh mesra. Tiba-tiba dia tidak bersetuju dengan pendapat adik kita, menghalang adik kita bercakap dan seterusnya memberi cadangan kepada adik kita untuk berpindah rumah sekiranya adik kita tidak bersetuju dengan pendapatnya. Adakah wajar? Dan kita, adakah sekadar mendiamkan diri, dan tersenyum? Tepuk dada, tanya minda.

Andai mahasiswa yang bersuara disenyapkan dengan cara yang tidak sopan, hal ini sepatutnya menjadi satu isu yang tidak dipandang enteng. Kebebasan untuk bersuara dan memberi  pendapat oleh seorang mahasiswa sepatutnya diraikan dan jika tidak dipersetujui, sila perbetulkan secara ilmiah dan bersama fakta yang logik, tuntas, bernas dan meluas.

Bertindak memperbodohkan dan mencelah seorang mahasiswi untuk bercakap adalah satu perkara yang kurang beradab dan tidak seharusnya terjadi. Sikap ego, menghina dan rendah akhlak, menghina pelajar tersebut, dan yang paling mengecewakan,  tiada seorang pun tampil di hadapan membela dan mempertahankan mahasiswi berkenaan. Presiden Suara  Wanita 1Malaysia itu bukan siapa, dia bukan pensyarah, dia orang luar. Dia datang ke tempat anda dan menghina rakan anda, dan tiada apa yang dilakukan.

Sukar untuk diterjemahkan. Namun, setiap orang ada alasan masing-masing yang saya kira untuk ketika ini boleh diterima. Namun, kita tidak seharusnya diam sampai bila-bila. Pembelaan perlu kita lakukan, bukan atas dasar politik, tetapi atas dasar hak bersuara mahasiswa.

Akhir kata, sukar untuk kita jumpa seorang insan yang berani bersuara di khalayak ramai, lagi-lagi seorang mahasiswi atas dasar untuk menegakkan kebenaran. Bersuara berdasarkan fakta, fakta dan fakta. Mari semua kita tambah ilmu, bukan sahaja ilmu di kelas, tapi juga ilmu isu semasa. Mahasiswa pemimpin perubahan.

Wallahualam.